Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Dimaklumkan bahawa kebelakangan ini Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengesan peningkatan cubaan pencerobohan dan penyalahgunaan identiti digital universiti, khususnya melibatkan akaun e-mel berdomain @usm.my dan @student.usm.my, oleh pihak tidak bertanggungjawab dari luar universiti.
Sehubungan dengan peningkatan ancaman keselamatan siber terhadap Institusi Pengajian Tinggi, semua pengguna identity@USM adalah DIWAJIBKAN untuk mematuhi dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan berikut bagi memastikan keselamatan identiti digital universiti sentiasa terpelihara:
Penggunaan Kata Laluan yang Kukuh
Pengguna hendaklah memastikan kata laluan mengandungi sekurang-kurangnya 12 aksara, merangkumi gabungan huruf besar, huruf kecil, nombor dan simbol. Kata laluan tidak dibenarkan mengandungi nama pengguna, nama sendiri atau sebarang maklumat peribadi yang mudah diteka.
Mengelakkan Akses ke Laman Web Tidak Diketahui
Pengguna dinasihatkan agar tidak melayari atau mengakses laman web yang tidak diketahui tahap keselamatannya atau mempunyai unsur mencurigakan.
Larangan Penggunaan Kata Laluan USM di Laman Web Luar
Kata laluan bagi akaun @usm.my dan @student.usm.my adalah dilarang sama sekali digunakan atau dimasukkan ke dalam mana-mana laman web atau sistem yang bukan di bawah kelolaan rasmi USM.
Kewaspadaan Terhadap E-mel Mencurigakan
Pengguna hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak membuka, membalas atau memberikan sebarang maklumat melalui e-mel yang tidak dikenali, mencurigakan atau meminta maklumat peribadi.
Larangan Membuka Lampiran E-mel Tidak Disahkan
Pengguna tidak dibenarkan membuka sebarang fail lampiran daripada e-mel yang sumber atau kesahihannya diragui.
Larangan Mengklik Pautan dalam E-mel Mencurigakan
Pautan yang terkandung dalam e-mel meragukan berpotensi mengandungi perisian hasad (malware) atau merupakan cubaan pancingan data (phishing).
Perlindungan Maklumat Peribadi
Pengguna dinasihatkan agar tidak berkongsi maklumat peribadi, maklumat akaun atau kelayakan log masuk dengan mana-mana individu atau organisasi tanpa pengesahan rasmi daripada pihak USM.
Kerjasama dan keprihatinan semua warga USM amat dihargai dan penting bagi memastikan keselamatan identiti digital universiti sentiasa terpelihara serta terjamin.
Sekian, terima kasih.
Seksyen Keselamatan Siber
Pusat Transformasi Digital
Universiti Sains Malaysia
bagi pihak
Pegawai Keselamatan ICT (ICTSO)
Universiti Sains Malaysia